Assalamualaikum,
Alhamdulillah kita dapat bertemu lagi dalam post ini walaupun sekarang diri saya sangat agak sibuk dengan assignment, exam dan kuliah. Tambahan, jadual kuliah dan exam yang selalu berubah-berubah sangat membatut aktiviti saya seharian.
MASA. Siapa yang boleh menakluk masa? Pasti tiada. Kesibukan pasti akan membuatkan kita kelam-kabut jika tidak diuruskan dengan baik. Saya nak mencatat di blog ni pun menjadi kesukaran kerana tugasan dan kuliah lebih mencemburui waktu. Dalam diam saya berfikir, siapa kita tanpa Allah? Sejauhmana kita mampu menilai keimanan tanpa adanya ujian Allah swt? Kita hanya mampu berdoa kepada Allah. Kenapa doa? Oleh itu, dalam post kali ini saya ingin berkongsi tentang “DOA DAPAT MERINGANKAN KESUKARAN”
Memang tidak dinafikan bahawa orang beriman juga berhadapan dengan kepahitan hidup. Tetapi mereka menghadapinya dengan penuh kerelaan hati dan penyerahan yang sebenar kepada Allah swt.
Jika kesukaran dan kesedihan yang dihadapi amat berat terasa di bahu kita untuk memikulnya, maka pada ketika itulah kita meminta bantuan daripada Allah swt. Bantuan yang diminta itu, sama ada untuk menghilangkan kesukaran itu, menguranginya atau untuk tabah menghadapinya. Apabila datang kesusahan dan bala, baginda Rasulullah saw selalu mengingatkan kepada para sahabatnya supaya memohon bantuan daripada Allah swt. Kerana hanya Allah swt yang berkuasa melepaskan kita daripada sebarang kesusahan.
Pada suatu hari, Baginda saw masuk ke masjid, kata Abu Sa’id al-Khudri, lalu baginda melihat seorang lelaki Ansar bernama Abu Umamah sedang termenung, pada wajahnya tergambar kedukaan. Kemudian baginda Rasul bertanya, “Apa yang engkau buat di sini pada waktu begini, wahai Abu Umamah?” Abu Umamah menjelaskan, “Aku sedang bingung kerana terlalu banyak hutang, ya Rasulullah.” Lalu Rasulullah saw bertanya, “Mahukah engkau aku ajarkan satu doa yang dapat melangsaikan hutang-hutangmu dan melenyapkan duka dan kesedihanmu?” Abu Umamah berkata, “Tentulah aku suka, ya Rasulullah!”
“Bacalah setiap pagi dan petang doa ini,” kata baginda Rasul. Bacaan yang dimaksudkan baginda tersebut ialah,
“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kesedihan, aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepada-Mu daripada (sifat) pengecut dan bakhil, dan aku berlindung kepada-Mu daripada beban hutang dan kezaliman manusia.”
(HR Abu Daud)
Kemudian Abu Umamah berkata, “Doa tersebut aku amalkan dan akhirnya Allah swt menyelesaikan hutang-hutangku, begitu juga kesusahanku.”
Dilihat daripada segi logiknya, memang mengulangi kalimat-kalimat tertentu boleh mengubah suasana kejiwaan seseorang.
Doa yang diajarkan oleh Rasulullah saw tadi berisi kalimat-kalimat yang dapat mengubah jiwa orang yang membacanya. Apabila jiwa berubah, maka dengan sendirinya berubah pula cara bertindak orang tersebut, insha Allah. Abu Umamah yang sedang dirundung kedukaan kerana hutang yang tidak mampu dibayarnya dan dibantu oleh Rasulullah saw dengan mengajarkan beberapa kalimat doa, yang dengannya jiwa Abu Umamah berubah dengan membacanya dan mengamalkannya setiap hari.
Apabila jiwa yang kusut dan hati yang rungsing sudah dapat diatasi, tentulah Abu Umamah dapat berfikir dengan baik, seterusnya berusaha untuk mencari wang untuk membayar hutang-piutangnya. Ternyata, dengan fikiran yang jernih dan jiwa yang tenang, Abu Umamah berjaya melangsaikan hutangnya.
Memang doa-doa yang diajarkan oleh baginda Rasulullah saw ada persamaan dengan syair-syair pembangkit semangat dan pendorong jiwa untuk berubah, supaya orang yang mendengar dan membacanya terus bertindak.
Sesungguhnya doa-doa ini bukanlah hanya sekadar doa yang memohon sesuatu daripada Allah swt oleh orang yang malas bekerja. Tetapi, yang demikian adalah suatu pertolongan yang timbul daripada kebenaran serta keyakinan yang kuat. Maka dengan membacanya, orang bekenaan mampu manghadapi apa jua bentuk persoalan yang datang dalam hidupnya.
Selain daripada itu, doa-doa ini juga adalah suatu sempadan nilai yang sewajarnya menjadi pegangan orang mukmin, iaitu setiap usaha dan pekerjaan yang dilakukan adalah atas dasar iman dan takwa kepada Allah swt.
Diharapkan bertambah baik jiwa seseorang itu, bertambah mantap tekadnya, setelah membaca doa-doa yang mengandungi dorongan dan motivasi ini. Lalu, kerana berkat doa-doa ini, maka semakin baik pulalah amalan agama seseorang dan bertambah baik pula kehidupan duniawinya.
Sesetengah manusia membuat andaian doa sebagai keluh-kesah yang rendah nilainya, lantaran seseorang itu tidak lagi mampu berhadapan dengan cabaran di dalam kehidupannya. Inilah tanggapan mereka yang mengatakan “doa tidak lebih daripada permintaan tanpa disertai usaha”.
Sebenarnya bukan begitu yang dimaksudkan dengan doa-doa yang diajarkan oleh baginda Rasulullah saw. Jika ada orang yang beranggapan sedemikian, maka doa adalah tidak lebih daripada sekadar angan-angan dan khayalan kosong yang diharapkan akan menjadi kenyataan pada satu masa akan datang, sedangkan masa hadapan adalah masih ghaib merentasi waktu dan usia.
Ada pula orang yang beranggapan, mereka yang beriman dan bertakwa adalah mereka yang telah menempah kesusahan dan kemelaratan hidup di dunia. Alangkah sesatnya anggapan tersebut. Ini adalah suatu penghinaan yang keterlaluan terhadap kemuliaan Islam sebagai agama yang diturunkan oleh Allah swt ke muka bumi bagi kepentingan manusia keseluruhannya.
Anggapan yang keliru ini sepatutnya tidak terjadi sekiranya mereka benar-benar memahami ajaran Islam. Bukankah baginda Rasulullah saw sendiri yang sering berdoa dengan doa berikut,
“Ya Tuhanku! Perbaikilah urusan agamaku, kerana ia adalah pemelihara setiap urusanku, dan perbaikilah urusan duniaku, kerana di dalamnyalah aku hidup; dan perbaikilah urusan akhiratku, kerana akan ke sana juga aku akhirnya, dan jadikanlah kematian itu sebagai tempat rehat bagiku daripada setiap keburukan.”
(HR Tirmizi)
“A prayer is not magic. It is a combination of a strong will, effort, and sincerity. Sometimes a prayer works like a miracle”
Wallahu'alam...~
Wallahu'alam...~
.:::ANNAEM:::.
-jakartabarat-
-ahad, 22052011-