Ada satu alat yang sesuai untuk mengukur kekuatan iman, dan alat itu adalah 'hati manusia'. Allah swt menjadikan hati itu hidup dan berfungsi sebagai pusat kawalan bagi anggota badan manusia selain otak. Seseorang yang sentiasa menyentuh hatinya dan merawat dengan baik akan semakin mengenali dirinya sendiri.
An-Nu’man bin Basyir berkata: “Saya mendengar Rasulullah saw bersabda, ‘Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat hal-hal musyabbihat (syubhat / samar, tidak jelas halal-haramnya), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Barangsiapa yang menjaga hal-hal musyabbihat, maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya. Dan, barangsiapa yang terjerumus dalam syubhat, maka ia seperti penggembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir ia terjerumus ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja mempunyai tanah larangan, dan ketahuilah sesungguhnya tanah larangan Allah adalah hal-hal yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada sekerat daging. Apabila daging itu baik, maka seluruh tubuh itu baik; dan apabila sekerat daging itu rosak, maka seluruh tubuh itu pun rusak. Ketahuilah, dia itu adalah hati.”
(HR Bukhari)
Apabila kita berdoa, sering kita memohon agar ditetapkan ‘hati’ kita agar tetap di atas ketaatan kepada-Nya. Sering kita meminta agar mempunyai hati yang ikhlas. Selalu kita berdoa agar didekatkan hati kita dengan Penciptanya. Semasa kita berdoa itu, kita tidak merujuk kepada organ tertentu. Namun, sering kita merujuk kepada dada, melambang diri dan jiwa kita. Kadang-kadang kita dapat merasa ia hidup dengan sejahtera dan manis tatkala bermunajat dengan Allah swt. Apabila diri diselubungi rasa dosa, hati lah tempat paling dirasa gundah-gulana, serabut. Tempatnya secara khusus? Tak tahu… Di lubuk ‘hati’? ‘Hati’ itu sendiri di mana?
“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat berakal (memahami) atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.”
(QS Al-Hajj: 46)
Dari sini dapat diketahui bahawa…
· Akal terletak di HATI, bukan di KEPALA.
· Dan hati pula terletak di dalam DADA.
Sebetulnya, akal terletak di HATI, cuma fungsinya berkait rapat dengan otak. Otak hanya sebagai penggerak anggota badan atas arahan akal yang membezakan kita dengan haiwan.
Jika gelisah, sedih dan putus asa menguasai diri, pasti kita akan bertanya kepada hati apakah sebabnya? Kemudian ilmu dan pengalaman diperlukan untuk menjawab soalan, akal diguna sambil hati memandu cuba merungkai penyebab kesedihan itu. Akhirnya ditemukan jawapan punca kesedihan, kemurungan, gelisah dan tekanan pada diri manusia iaitu;
Suka membuang masa, hiburan dan permainan itu boleh merehatkan hati dan menjadikannya lebih bertenaga, tetapi apabila terlalu berlebihan ia boleh melalaikan. Bila berlebihan tanpa kita sedar kita telah mebina berhala di dalam hati. Berhala itu akan menghalang hati manusia dari mendapat hidayah Allah.
Orang mukmin itu membahagikan masanya kepada tiga bahagian, iaitu;
Pertama untuk Allah SWT; kedua untuk dirinya sendiri yang meliputi fikiran, perasaan dan tubuh badannya dan ketiga untuk keluarga dan ummatnya. Sikap membuang masa biasanya dipengaruhi oleh lingkungan. Manusia akan mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat dan didengar daripada pergaulan. Berkawan rapat dengan orang yang suka membaca boleh mempengaruhi minat kita kepada buku, begitu juga bila suka iktikaf di masjid mendengarkan syarahan agama akan menjadikan kita dekat dengan ilmu.
Kita sentiasa berhadapan dengan dua pilihan dalam hidup ini, jalan baik atau yang buruk. Kawan yang jahil atau soleh, situasi mengingatkan kita pada Allah atau melupakannya. Membuang masa menyebabkan kemalasan yang berakhir dengan kegagalan, sedih dan tertekan. Seorang mukmin yang benar imannya sentiasa berada dalam situasi jihad iaitu bersungguh-sungguh mengisi masanya dengan perjuangan dan pengorbanan untuk memenangi pertarungan melawan iblis dan syaitan.
Antara kesedihan berpunca daripada sifat dengki dan mengikut nafsu. Ada orang berasa sedih menyaksikan orang lain yang mengatasi kehebatannya. Lebih berjaya, kaya, berpangkat, cantik dan bergaya atau ditinggalkan oleh orang dicintainya. Risau dan tertekan bersarang di hati, ditambah dengan sifat dengki dan dendam yang pasti akan memalapkan cahaya iman.
Ubat bagi kesedihan antara yang paling ideal ialah PUASA. Berpuasa akan membuat seseorang melihat siapa yang berada di bawah anda. Bukankah ramai manusia yang tiada apa-apa untuk dimakan pada hari ini? Rumah mereka musnah oleh banjir dan badai, anak dan isteri mereka mati di hadapan mata kerana tembusan peluru, kehancuran bangsa dan negara oleh kekejaman perang. Mengapa perlu bersedih jika kita masih memiliki orang yang tersayang, mengapa risau jika harta kita dilindungi Allah SWT, jika ia berkurangan bukankah selama ini Allah memberi jumlah yang banyak tak terhitung? Semenjak dari rahim ibu lagi rezeki sudah dikurniakan kepada kita. Sudikah kita jika seseorang mahu menukar kedua mata, kaki dan tangan kita dengan wang berjuta? Tentu ia lebih berharga daripada wang. Kenikmatan yang Allah kurniakan itu terlalu banyak, tetapi hanya sedikit manusia yang mahu bersyukur.
Kesedihan itu berlaku mungkin kerana melupakan Allah. Bagaimanakah keadaan orang yang melupakan Allah? Dalam surah Al-Hasyr: 19 Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang melupakan Allah. Lalu Allah menjadikan mereka melupakan diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasiq.”
Makna melupakan diri mereka sendiri adalah mereka meninggalkan amal soleh yang boleh menyelamatkan diri mereka di dunia dan akhirat. Orang yang melupakan Allah SWT mempunyai ciri-ciri seperti berikut;
Hari dilalui tanpa ibadat, lupa berzikir, mengabaikan sembahyang, tidak membaca ayat al-Quran, menjauhi ilmu dan meninggalkan amal soleh.
Kehidupan dunia menjadikan mereka buta, tidak dapat menjejaki jalan ke akhirat. Keadaan mereka seperti binatang kerana mereka hidup semata-mata untuk makan, minum, tidur, berkahwin dan memuaskan nafsu saja.
Ini sesuai dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakan jin dan manusia, mereka memiliki hati tapi tidak dipergunakan untuk memahami ayat-ayat Allah, dan mereka memiliki mata tetapi tidak dipergunakan untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah dan mereka memiliki telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (QS Al-A'raf: 179).
Orang yang kaya dan memiliki segalanya tak semestinya tidak berasa sedih, putus asa dan tertekan? Sebenarnya, ia bergantung kepada sumber hartanya dan untuk apa ia dibelanjakan. Ramai di luar sana ada yang sampai mengambil nyawa sendiri untuk keluar dari masalah.
Kekayaan yang sebenar adalah kaya hati. Iaitu hati yang sentiasa bergembira kerana iman kepada Allah dan bersyukur serta redha dengan qada dan qadar-Nya. Hati juga menunjukkan karakter iman manusia kerana hati itu bagai cermin perlu digilap senpanjang masa, jika tidak ia akan menjadi kabur tidak dapat memantulkan cahaya iman kepada manusia lain. Jadi jagalah hati kita.