Sunday, May 1, 2011

::. Kenapa Menyakiti dan Menganggu Manusia Lain .::

Assalamualaikum...

Alhamdulillah syukur kepada Allah swt, kita bertemu lagi dalam post ini setelah sekian lama blog ini menyepi... sibuklah katakan...


Hari ini hari minggu dan banyak waktu terluang, Hari ini masa yang berlalu saya cuba isi dengan melayari internet, membaca bahan kuliah dan membaca buku-buku agama. Pengisian macam inikan lebih baik berbanding 'top-up tido' seperti yang biasanya dilakukan oleh segelintir anak muda di hujung minggu termasuk seperti saya. (muda ke?) Dalam pada saya mengisi masa terluang membaca blog-blog sahabat, melayan perbincangan di Halaqah.Net dan utaraonline.net, tetapi bacaan saya kali ini tertumpu pada satu isu.  Isu apa? Isu tak senang dengan kelakuan seseorang dan isu ini sering berlaku. Jujur, saya jarang ambil pusing apa yang berlaku di kalangan sahabat sekuliah suka hati mereka asal tak bercanggah syari’at Allah swt kecuali bagi mereka yang benar-benar rapat dengan saya. Namun, apabila hampir sebahagian daripada mereka membicarakan hal yang sama, saya jadi ingin tahu (bukan busy body) tapi lebih kepada prihatin (yelah tu)...  ;P

Terkadang saya merasa simpati pada mereka yang menjadi mangsa . Bukan seorang dua yang kena, ramai dah. Saya memang tahu ada prinsipnya sememangnya tak akan ambil peduli pada kata orang. Harap hamba Allah yang berkaitan berubah menjadi hamba Allah swt yang lebih baik. Namun, saya lebih suka diam, mendengar dahulu masalah, cuba muhasabah diri kemudian baru menasihati dengan secara langsung atau tidak langsung. Kadangkala saya cuba menasihati orang lain dengan cara yang berbeza. Bukan dari ucapan nasihat sahaja, kadangkala tingkahlaku saya juga dan saya lebih senang dari bentuk tarikan psikologi.

 Barangkali Allah menghadirkan hambanya seperti ini sebagai ujian buat kita ini yang lain tak bukan sebagai asbab untuk kita lebih dekat pada Nya. Bersyukurlah kerana 'dianugerahkan' sahabat sepertinya kerana sekurang-kurangnya setiap kali kita menghadapinya, setiap kali kita kurang selesa , maka waktu itulah kita dekat dengan Allah, mengadu pada Allah dan cuba menasihatinya. Sahabat seperti inilah yang akan mengajar kita erti sabar... erti ikhlas. Dan maaflah, saya kadang-kadang saya kurang bersetuju dengan cara seseorang mendapatkan sesuatu. Kalau inginkan sesuatu yang baik dan suci maka berusahalah dengan usaha setimpal dengan lebih baik dan suci dan cuba berubah menjadi lebih baik. Ingatlah Allah tak memandang hasilnya tetapi usahanya dan apa yang dilakukannya. Bagi saya, tak ada bezanya manapun kita semua, berhubunganlah dengan bermaruah. Kalau dah tak suka kenapa perlu memaksa untuk orang suka kita kan?

Buat hamba Allah diluar sana, ingatlah... dalam dunia ni, kita dituntut untuk menjaga hubungan dengan Allah dan kita juga dituntut untuk menjaga hubungan dengan manusia... Dalam konteks perhubungan baik antara sesama manusia.

Allah swt berfirman, maksudnya, “Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kalian daripada seorang lelaki dan seorang perempuan (Adam dan Hawa), dan Kami jadikan kalian berbagai bangsa dan suku agar kalian saling kenal mengenali (antara satu sama lain)”.
 (QS al-Hujurat: 13).

Perhubungan manusia dengan Allah swt, pula merupakan tujuan pokok manusia diciptakan-Nya. Allah swt, berfirman, bermaksud, “Dan aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah (beribadat) kepada-Ku”. 
(QS adz-Dzariat: 56).

Firman Allah swt, yang bermaksud : ”Hai orang-orang beriman, janganlah berolok-olok satu kaum kepada kaum yang lain kerana boleh jadi mereka (yang diprolok-olokkan itu) lebih baik daripada mereka (yang mengolok-olokkan itu), jangan juga wanita-wanita kepada wanita-wanita yang lain kerana boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olokkan itu) lebih baik daripada wanita-wanita (yang mengolok-olokkan itu), janganlah kalian mencela diri kalian sendiri dan janganlah kalian panggil memanggil dengan gelaran yang buruk. Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka. Sesungguhnya kebanyakan prasangka itu adalah dosa. Janganlah kalian mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kalian mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang daripada kalian memakan daging saudaranya yang mati?".
(QS al-Hujurat : 11-12).

Demikianlah, larangan Allah swt kepada Umat Islam, bukan sahaja dilarang daripada melakukan perlakuan atau tindakan yang boleh mencederakan fizikal atau mengorbankan nyawa orang lain, tetapi juga ditegah daripada melakukan apa sahaja perbuatan yang boleh menyinggung, menganggu atau menyakiti hati atau boleh memutuskan tali perhubungan.

Sebaliknya, Islam menekankan galakan agar manusia melakukan apa sahaja perbuatan yang akan menyenangkan hati dan membahagiakan kehidupan manusia yang lain sehinggakan senyuman kepada seseorang itu dikira sebagai satu sedekah (Maksud Hadis).

Islam menggalakkan perpaduan ummah.  Allah swt berfirman maksudnya : "Sesungguhnya segala orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikan antara dua saudara yang bersengketa".
(QS al-Hujurat: 10).

Rasulullah saw bersabda maksudnya : "Mukmin dengan mukmin itu umpama bangunan, sebahagiannya saling berkaitan dengan bahagian yang lain"

Nabi saw bersabda maksudnya : "Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri".

Umat Islam dilarang melayani nafsu dan membiarkan hati dijangikiti penyakit mazmumah seperti hasad, tamak, riyak, ujub, takabbur dan sebagainya.

Di samping mendatangkan manfaat duniawi, jalinan persaudaraan sesama penganut Islam itu juga akan menghasilkan manfaat ukhrawi.

Rasulullah saw bersabda, maksudnya : "Barangsiapa menjalin persaudaraan kerana Allah maka Allah akan meninggikan darjatnya di dalam syurga".

Mu'az bin Jabal meriwayaatkan: Rasulullah saw bersabda maksudnya : "Suatu kelompok manusia pada hari kiamat kelak akan memperoleh kursi di sekitar Arasy. Wajah mereka bagaikan bulan purnama pada malam lailatul-qadar. Waktu itu manusia panik sedangkan mereka tidak berasa panik dan manusia takut padahal mereka tidak berasa takut. Mereka itu adalah aulia Allah yang tidak pernah takut terhadap mereka (musuh-musuh Allah) dan tidak pernah merasa khuatir".

Lalu Mu'az bertanya: "Siapakah aulia itu, ya Rasulullah?"

Rasulullah menjawab: "Mereka ialah orang-orang yang berkasih sayang antara satu sama lain kerana Allah".
(HR  Ahmad dan Hakim)

Abu Hurairah pula meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda  maksudnya : "Allah berfirman pada hari kiamat: 'Di mana orang-orang yang menjalin rasa cinta kerana Aku? Hari ini pada saat tidak ada lagi naungan apa pun kecuali naungan-Ku, maka akan Aku naungi mereka di bawah naungan-Ku'".

Maksud persaudaraan kerana Allah itu ialah persaudaraan yang berasakan matlamat menegakkan kalimah Allah, mempertahnkan kebenaran (hak) dan menentang kebatilan. Mereka yang terlibat menjalinkan cinta kerana Allah, berkumpul kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah
 (Maksud hadis, riwayat Ibnu Hibban dan Hakim daripada Anas bin Malik).

Semoga kita semua mengambil iktibar daripada apa yang berlaku...   Peringatan ini buat saya juga dalam menjaga hubungan dengan Allah dan manusia... berjumpa kerana Allah, berpisah kerana Allah...  dan  mencintai juga kerana Allah..

Wallahu’alam...





.:::ANNAEM:::.
-jakartabarat-
-ahad, 1030, 01052011-

Wednesday, April 27, 2011

Saturday, April 2, 2011

::. Sedar .::

Assalamualaikum...

Di Tanjung Duren Selatan, Jakarta Barat di Indonesia. Dah pukul 4.20 petang. Saya dalam perjalanan pulang dari kampus. Jadual kuliah yang tidak menentu, membuat saya selalu pulang lambat dan tak menentu. Yap, hari ini agak menjemukan dan disertai penat yang amat sangat. Ketika warna langit tampak mendung. Rintik-rintik hujan mulai turun dengan semakin lebat.

Saya mencari tempat berlindung. Untunglah, ada penjual nasi goreng dekat tepi jalan, mempunyai  khemah sederhana besar.  Alhamdulillah, bisik hati saya. Segera saya berteduh, menjumpai bapa penjual yang sendirian ditemani rokok dan lampu petromak yang masih menyala.

Dia mempersilakan saya duduk. "Di sini saja dik, daripada kehujanan...," begitu katanya saat saya meminta izin berteduh. Basikal berwarna hitam diletak di tepi jalan terbiar basah dibasahi hujan.

Hujan mulai deras, dan kami makin terlihat dalam kesunyian yang pekat kerana merasa tak nyaman dan tak senang dengan atas kebaikan bapak penjual, saya berkata dalam loghat Indonesia, "minta tolong bikin nasi goreng, pedasnya sedang ya pak, dimakan di sini aja”.

Bapak itu tersenyum, dan mulai menyiapkan tungku apinya. Dia nampak sibuk. Bumbu dan penggorengan pun telah siap untuk diracik. Terlihatlah pertunjukkan sebuah pengalaman yang tak dapat diraih dalam waktu sebentar. Tangannya cepat sekali meraih botol kicap dan segenap bumbu. Segera sekelip mata sahaja, nasi goreng yang mengepul telah terhidang. Keadaan yang semula sepi mulai hilang. Basa-basi saya bertanya, "Wah hujannya tambah deras nih, orang-orang makin jarang yang keluar ya Pak?" Bapak itu menoleh kearah saya, dan berkata, "Iya dik, jadi sepi nih dagangan saya..." katanya sambil menghisap rokok dalam-dalam.

"Kalau hujan begini, jadi sedikit yang beli ya Pak?" kata saya, "Wah, rejekinya jadi berkurang dong ya?" Duh. Pertanyaan yang bodoh. Kenapa terkeluar pertanyaan itu. Tentu sahaja tak banyak yang membeli kalau hujan begini. Tentu terasa dibenak saya, pertanyaan itu hanya akan membuat Bapak itu tambah sedih. Namun, agaknya saya keliru sebab terlalu penat...

"Allah swt itu tidak tidur dik", begitu ringkas katanya. "Rejeki saya ada di mana-mana. Saya malah senang kalau hujan begini. Istri sama anak saya di kampung pasti dapat air buat sawah. Yah, walaupun tidak lebar, tapi lumayan lah tanahnya." Bapak itu melanjutkan, "Anak saya yang disini kerja angkutan (angkut: macam bas RapidKL cuma bentuk van warna merah) pasti bisa dapat rejeki lebih kalau besok masih hujan...".

Pergh... aduh, hati saya tergetar, Bapak berkata itu benar, "Allah swt itu tidak tidur".  Allah swt memang Maha Kuasa, yang tak pernah berehat buat hamba-hambaNya. Maknanya terlampau dalam, membuat saya banyak berfikir dan menyedari kekerdilan saya di hadapan Allah swt.

Malah saya tadi berfikir semasa mulai hujan, bahawa hujan adalah sangat menyusahkan dan membantutkan aktiviti ‘outdoor’. Saya juga berpendapat, bahawa saat ada ujian yang menimpa, maka itu ertinya saya cuma harus bersabar. Namun saya keliru. Hujan, memang boleh menjadi bencana, namun rintik-rintiknya boleh menjadi anugerah bagi setiap petani. Derasnya juga adalah berkah bagi sawah-sawah yang perlu diairkan. Derai hujan mungkin boleh menjadi petaka, namun derai itu pula yang menjadi harapan bagi sebahagian orang yang kerja membawa angkutan.

Hmm... saya makin bergegas untuk menyelesaikan nasi goreng itu sebab solat asar belum dilaksanakan lagi. Beribu fikiran seperti lintasan-lintasan cahaya yang bergerak di benak saya. "Ya Allah, Engkau Memang Tak Pernah Berehat" Untunglah, hujan telah semakin reda, dan saya pun telah selesai makan dan jam di tangan menunjukan pukul 5.10 petang.  Sudah lewat. Di Jakarta waktu Magrib 1 jam awal dari Semenanjung Malaysia jadi waktu Magrib kira-kira jam 6 lebih.

Dalam perjalanan pulang, hanya kata itu yang teringat di hati, Allah tidak pernah tidur...
“Allah tidak pernah tidur...” yap, itu pasti... tapi kali ini, kalimah ini istimewa.

Begitulah, kali ini saya takjub pada hal-hal kecil yang ada di depan saya. Allah swt memang selalu mempunyai banyak rahsia, dan mengingatkan kita dengan cara yang tak diduga. Selalu saja, Dia memberikan CintaNya kepada saya melalui hal-hal yang sederhana. Dan hal-hal itu, kerap membuat saya menjadi semakin banyak belajar.

Dulu, saya berharap, boleh melewati setiap tahun dengan hal-hal besar, dengan sesuatu yang istimewa. Saya sering berharap, saat saya bertambah usia, harus ada hal besar yang saya lampaui. Seperti tahun sebelumnya, saya ingin ada hal yang menakjubkan saya lakukan. Namun, rupanya tahun ini Allah swt punya rencana lain buat saya. Dalam setiap doa saya, sering terucap agar saya selalu dapat belajar dan memaknai hikmah kehidupan ini. Dan kali ini Allah swt pun tetap memberikan saya antara yang terbaik. Saya tetap belajar, dan terus belajar, walaupun bukan dengan hal-hal besar dan istimewa. Sedar! 

^___^

Wallahu'alam bisthoowab...~





.:::ANNAEM:::.
-jakartabarat-
-sabtu, 1440, 02042011-

Saturday, March 26, 2011

::. Terima Kasih .::




Assalamualaikum semuanya...~

Setelah 21 tahun mengecapi hidup di muka bumi Allah swt ini. Begitu banyak ranjau dan dugaan yang diterima, tetapi saya akui dan redha dengan segala ujian yang diberikan kepada diri ini itu semua adalah kehendakNya. Matlamat saya sebenarnya dalam hidup ini untuk menjadi manusia yang cemerlang di dunia dan lebih-lebih lagi akhirat. Bukan semudah yang kita sangkakan ada liku-liku yang mendatang akan tiba di hadapan kelak.

Selama saya hidup, telah banyak saya pelajari untuk kenal erti hidup yang sebenarnya. Begitu banyak lagi perkara yang masih kita perlu lalui. Kesusahan yang selama ini diharungi itulah yang banyak mengajar untuk teruskan hidup. Saya akui begitu banyak kesilapan dan dosa yang saya lakukan kepada Allah swt , ibu bapa dan rakan-rakan, kadang-kadang saya tidak sedar itu semua. saya leka dan alpa dengan dunia yang dikejar tanpa penghujungnya.

" Ya Allah... ampunikanlah segala dosa-dosaku, ibubapaku, keluargaku, rakan-rakanku dan seluruh umat Islam di dunia ini... sesungguhnya hambamu ni banyak melakukan kesilapan dan dosa padaMu, adakalanya hambamu ini juga melupakanMu... Ya Allah sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berkuasa dan Maha Pengampun... Ameen~"

Terima kasih saya tujukan kepada Allah swt kerana saya dilahirkan menjadi hambaNya. Terima kasih juga kepada ibu dan ayah kerana melahirkan saya dan menjaga saya walaupun mereka merasa tidak sepenuhnya, ibu ayah walau begitu banyak kekurangan yang hadir pada diri kamu semua, kamu tetap ibu dan ayah ku untuk selamanya. Insya Allah kita akan ketemui juga suatu hari nanti. Ketahuilah jauh di sudut hati ini merindui kasih dan sayang dari seorang ibu dan ayah yang sebenarnya. Hati setiap hari merintih dan mengharapkan sesuatu kebahagiaan yang akan datang seperti mana keluarga yang berada diluar sana.

Kerana ini segala yang telah berlaku ini ada hikmah disebaliknya. Di kesempatan ini saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sepejuangan yang selama ini memberikan semangat kepada diri saya untuk teruskan hidup. SAHABAT yang berada sekeliling sayaa inilah yang banyak memberi inspirasi kepada diri. Tanpa mereka tiada senyum tawa tersemat pada diri ini. Terima kasih semuanya...


V^___^







:::ANNAEM:::.
-jakartabarat-
-sabtu, 2335, 26032011-

Tuesday, March 8, 2011

::. Aku, Dia dan Semuanya..~ 2011 .::



Assalamu’alaikum….

Syukur kehadrat Allah swt kerana masih diberi dua nikmat yang utama iaitu Iman dan Islam pada diri ini. Setelah beberapa kali edit post ini. Saya mengambil keputusan untuk 'up date' lagi  blog ini edisi 2011, 1432 Hijriah dengan post ni. Walaupuan dah belated sangat dah masuk sampai bulan Mac dan Rabiulakhir dah untuk baru nak postkan post ini. Terlalu lama terperuk dalam draft blog.

Blog ini sudah seperti ‘agak merepek sedikit'.

Bukan tiada idea yang ingin dicurahkan, ada terlalu banyak tetapi ada sahaja penyebab yang membantutkan saya untuk menulis dengan lebih sistematik. Bukan tiada masalah kesempatan tapi tiada inspirasi.  

Puas saya muhasabah kembali mengapa saya 'malas' untuk membaca, menulis dan belajar. Antaranya tiadanya keyakinan pada diri. Saya terlalu memikirkan ’what people will say?’ dan ‘what happen if I fail?’. Terlalu fikir dan memikir.  Sehingga setiap idea yang ingin dilontarkan, mesti saya pendam dahulu. Memikirkan apa yang orang lain akan kata. Pendek kata, terlalu berisiko. Walaupun, saya tahu, apa tujuan saya ada pada blog ini.


Bulatkan tekadku.

Pada waktu akan datang, setiap post adalah hasil terbaik dari buah fikiran saya dengan campuran beberapa orang alim dan ulama yang saya ade berhubungan, gaya bahasa saya diperbaiki dan mempunyai beberapa rujukan utama yang bagus.

Blog ini akan menjadi medan untuk saya curahkan pemikiran dan idea. Maka, secara automatik, sikap saya juga akan dikenali. Biarlah, asalkan ada manfaat. Ambillah yang baik, tinggalkan yang tidak baik itu. Ambil yang jernih buang yang keruh. Saya juga manusia biasa. Bukan Malaikat! Selalu melakukan kesalahan… kengkadang tersalah eja pun ada…

Saya suka menerima cabaran. Dan cuba untuk menjadi 'outspoken person'. Muslim lesu pada hari ini kerana terlalu membisu dalam setiap perkara. Jadi, di mana posisi kita sebagai umat Islam?

Terlalu banyak kenangan sepanjang tahun belajar kat negara Indonesia ini. Menjadi pelajar Islam tahun 2 Perubatan tajaan kerajaan di universiti swasta perubatan kristian tambah pula di bawah naungan Gereja Kristian bagi saya amat mencabar. Banyak masalah dan pancaroba. Paling utama, saya gagal dalam pengurusan masa. Gagal membahagikan waktu antara tanggungjawab dan bukan tanggungjawab. Padahal sekarang terlalu banyak waktu kosong.  Itulah kelemahan saya...  :(

Benarlah, waktu itu seperti pedang. Ia akan mengatasi kita jika kita tidak mengatasi ia…!!


Hahaha... tapikan orang tak percaya dan sangka saya ini orang anggap yang agak pelik-pelik dan ‘ting tong’ sikit ni sebenarnye seorang pemalu nak berbual, lebih-lebih kepada yang berlainan jantina dan terutama ‘secret admire’. Gagap!!!.  Kalau ada yang perasan kadang-kadang saya sebut sesuatu perkataan itu berbelit-belit dan Anda perlu tegur dulu baru saya akan bercakap.  
*Oh ape ni naem… kamu dah 20 tahun…  asyik malu-malu je… cuba jadi matang dan berani sikit, tapi bertempat lah ye kan… :P


Dan akhirnya, semester kali ini, saya masih bergelar lagi pelajar tahun 2 berharap dan berdoa akan saya bersama-sama sahabat sepejuangan lain agar lebih cemerlang pada masa akan datang. Walaupun perubatan bukan pilihan pertama saya. Tetapi semakin lama menceburkan diri dalam bidang ini membuatkan minat saya terus bertambah untuk lebih memahami ilmu perubatan, harap sahabat-sahabat lain dapat membantu saya dan saya juga  cuba untuk membantu sahabat-sahabat lain. 'Ala kulli haal, saya yakin. Allah swt jadikan sesuatu itu, adalah terbaik untuk saya dan tidak sia-sia. Pasti ada hikmah yang tersembunyi.

Tahun lepas juga, kenangan dapat mengembara sangat berharga saya kira. Bermula dengan Bandung sampai mendaki Gunung di Bogor. Siapa sangka, pada umur yang muda *bagi saya laaaa, Allah swt memberi peluang yang amat-amat bernilai untuk mengembara di bumi yang luas ciptaanNya. Alhamdulillah thumma Alhamdulillah. Rasa pasni nak pergi ke Makkah untuk buat Haji pula kalau ada rezeki. Tetapi… biasalah. Agak sukar…

Sahabat~

Dah hampir lebih setahun di bumi Indonesia, saya masih meneruskan perjuangan  mencari pengalaman dan mencari keredhaan Allah swt.

PERMAI JAKARTA. Berpersatuan dan berlainan usrah bukanlah atas dasar ingin mengisi masa lapang semata-mata dan untuk bergaduh manakah yang benar asalkan itu tidak bercanggah dan al-Qur’an dan as-Sunnah. Walaupun berjalan atas jalan dan cara yang berbeza tetapi tetap menuju destinasi yang sama. Dasar kefahaman itu yang utama. Semua ada peranan masing-masing. Saya juga cukup terharu pada ketabahan sahabat saya, Farid. Beliau sangat sibuk. Jarang ada kat rumah… :D


Semoga Allah kuatkan Farid, kita dan sahabat-sahabat kita semua lain. Moga kita semua istiqomah dalam melakukan kebaikan… ameen~

Akhir kata, sama-sama kita muhasabah kembali diri kita. Setiap apa yang kita lakukan, semuanya akan dipersoal kembali. Kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan dosa. Tetapi apa yang salah, kita menyesali dan cuba baiki kesilapan yang kita buat.

Jadilah insan yang kuat jiwanya dan jelas fikrahnya!!

Wallahu’alam…~















:::ANNAEM:::.
-jakartabarat-
-selasa, 2153, 08032011-


Saturday, March 5, 2011

::. Kesabaran .::




Assalamualaikum...~ 



::Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang::



“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.”

(QS al-Baqarah : 286)


Pernahkah teman-teman diuji sehinggakan sampai di satu tahap kita berasa putus asa dan kecewa? Gagal dalam peperiksaan terpaksa ambil kertas ulang, rasa disakiti dan dicemuh rakan, rasa susah nak berubah untuk cuba menjadi lebih baik, dan macam-macam lagi… Kalau sesiapa tiada masalah, tak normal laaa tu… :D

Sabar. Ungkapan yang selalu kita dengar. Tetapi perlu menjadi luar biasa untuk konsisten melaksanakannya. Cukup sangat susah.


Sabar…

Ada apa dengan sabar?

Sabar sangat dituntut dalam banyak perkara dalam kehidupan kita. Terutamanya apabila berhadapan dengan situasi yang  agak mencabar. Seperti seorang doktor yang sedang melakukan pembedahan, adalah agak tidak mustahil untuk berdiri selama 12 jam. Malah berbelas-belas jam hanya untuk satu pembedahan yang begitu kritikal. Kunci utamanya sabar. Jika terburu-buru, mautlah yang dicari untuk pesakit. Bahkan, kariernya juga akan terimpak dan mungkin akan musnah.

Begitu juga kita semua. Sabar sangatlah diperlukan dalam melakukan sesuatu seperti membuat keputusan, menahan amarah nafsu perasaan dan sebagainya. Paling penting, tujuan sabar itu perlu hendaklah jelas. Bolehkah kita bersabar apabila maksiat dihadapan mata? Tanya diri sendiri, hanya kita tahu jawapannnya.

Tujuan sebenar sabar adalah untuk kita mendekatkan diri pada Allah. Banyak  ayat dalam al-Qur’an yang menyebut tentang sabar.

Tujuan Allah swt beri kita ujian untuk lihat sejauh mana sabarnya kita. Ujian tanda Allah sayang akan pada kita.  Jadi, senyumlah tatkala sedang bersabar.  Jika tiada kesabaran dalam meniti ujian, hilanglah nikmat kemanisan ujian.  Jadi, berusahalah mencari Allah swt dalam sabar itu. Ada petanda Allah kurniakan ujian supaya kita kembali, bersabar, merintih dan kembali pada Allah. Bukankah Allah pencipta manusia dan seluruh makhluk?  Allah swt itu Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.


Indahkah  kesabaran…?

Ya…  Jika kena pada caranya. Sabar yang mendorong dan membawa kita ke jalan yang Allah Taala. Sabar yang dapat memberi kekuatan rohani pada jiwa untuk menjadi lebih baik di masa akan datang.


Sakit dan peritkah kesabaran…?

Ya… sangat perit dan sakit… namun pulangannya cukup berharga. Usah berasa susah dan rugi dalam bersabar. Allah telah janjikan banyak nikmat untuk hambaNya yang bersabar. Adakah ragu lagikah kita pada apa yang telah Allah janjikan??

Sesungguhnya satu pengalaman perit itu akan banyak membantu dalam kehidupan kita pada masa hadapan sekiranya kita sabar. Ingat Allah swt dalam kesenangan, dan Dia akan mengingati anda dalam kesulitan. Semoga sabar itu indah…~

Wallahu’alam…










:::ANNAEM:::.
-jakartabarat-
-sabtu, 1000, 05032011-



Tuesday, March 1, 2011

::. Lelaki Sejati .::




Assalamualaikum...

Dulu saya pernah tertanya-tanya bagaimana menjadi lelaki sejati itu.
Saya pernah cuba bertanya pada Mak saya,

“Mak… bagaimanakah “Lelaki Sejati” itu?”

Mak saya menjawab,

“Izat…


Lelaki Sejati itu bukanlah dilihat dari bahunya yang kekar dan tinggi,
tetapi dari kasih sayang dirinya terhadap orang disekitarnya...


Lelaki Sejati sejati itu bukanlah dilihat dari suaranya yang lantang,
tetapi dari kelembutannya mengatakan dalam kebenaran…


Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari jumlah teman di sekelilingnya,
tetapi dari sikap dirinya kepada teman dan cara berkawannya…


Lelaki Sejati itu bukanlah dilihat dari bagaimana dia dihormati di luar rumah,
tetapi bagaimana dia dihormati di dalam rumahnya sendiri…


Lelaki Sejati itu bukanlah dilihat dari kerasnya pukulannya dan ilmu persilatnya yang tinggi,
tetapi dari sikap bijaknya memahami persoalan dan cepatnya ia bertindak tanpa merugikan sesiapa…


Lelaki Sejati bukanlah dilihat dari dadanya yang bidang dan badannya yang tegap,
tetapi dari hati yang ada disebalik itu dan teguhnya jati dirinya…


Lelaki Sejati itu bukanlah dilihat dari banyaknya wanita yang memuja,
tetapi komitmen dirinya terhadap wanita yang dicintainya…


Lelaki Sejati itu bukanlah dilihat dari jumlah tanggungjawab yang dibebankan baginya,
tetapi dari tabahnya dia menghadapi liku-liku dan masalah kehidupannya…
  

Lelaki Sejati itu bukanlah dilihat dari rajinnya dia membaca al-Qur'an dan shalat semata-mata,
tetapi dari konsisten dan istiqomahnya dia menjalankan apa yang ia baca dan apa dia dapat dari shalatnya…

dan lelaki sejati yang dapat dicontohi itu adalah Rasulullah saw...'



Saya akan pegang nasihat Mak saya itu sampai bila-bila,

Namun nasihat itu membuat saya sering terfikir...
bolehkah saya menjadi lelaki sejati seperti itu...?






:::ANNAEM:::.
-jakartabarat-
-selasa, 2240, 01032011-